Abah merenung ke luar tingkap,memandang pokok padi yang sudah menguning.Kilatan duit secekak hasil padi,terpampang pula gambar bangunan Pejabat Pos Besar Alor Setar dan Pekan Melayu,juga sepiring mee tonggek di kaki lima Pekan Rabu.Abah tersenyum,suka.Rokok daun yang sudah terpadam apinya di buang keluar,jatuh ke lopak air yang berselut.Abah senyum lagi.Ada kebahagiaan bila memandang pokok padi yang menguning dan buah padi yang sudah kembung-kembung isinya.Abah tidak lupa bersyukur pada Allah kerana tahun ini,di jauhkanNya segala setan penyakit padi,di halauNya burung kedidi dan ketam jahanam.Tidak seperti tahun lepas,bila dekat waktu menuai,pokok-pokok padi yang menguning,perlahan-lahan bertukar menjadi hitam,perlahan-lahan hingga semuanya menyembam ke bumi dan rakus di telan air.Orang kata,padi kena bom.Kepenatan abah tidak berbayar dan hanya mampu merenung kosong ke lautan sawah yang sudah menjadi gelap.
Hitam berlenggang-lenggang depan abah.Mengangkat-angkat ekornya,seakan meminta laluan.Sampai di depan pintu,terus melompat ke tanah,melangkaui tangga yang anak tujuh.Jatuh ke tanah,terus hilang sebalik pokok bunga raya.Abah memerhati dari atas,sambil melunjur kaki yang mula kebas,punggung di esak ke tepi,memberi ruang pada bukaan kain untuk di tusuki angin.
Secawan kopi yang mula sejuk di teguk lagi.Pahitnya melekat di atas lidah dan meluncur laju melalui kerongkong.Abah mengesat cebisan kopi yang menumpang di hujung misai.
Abah termenung lagi.
Hujan masih lagi rintik di luar.3 ekor ayam betina bertenggek kesejukan atas basikal tua yang tersandar di tiang serambi sambil mengepak-mengepak sayapnya.
Silauan ingatan pun bertamu lagi…
“Kasi jual itu tanah, kita mau buat rumah.Lu punya anak-cucu tumpang senang.Itu duit aaaa…lu buleh pegi haji maaaa”.Taukeh Wong tersengih lagi, matanya yang sedia sepet itu kelihatan terbenam di sebalik lemak yang mengelilingi wajah bulatnya.
“Aku bukan tak mau jual Wong,tapi itu saja harta yang aku ada.Lagipun tanah tu” abah memuncungkan bibir seperti menunjukkan sesuatu. “ Tanah tu tanah pusaka kami”sambung abah lagi .
“Aiyaa…tanah buleh beli lagi maa…itu duit banyak oooo…” ternganga Tauke Wong.
“Nantilah, aku kena bincang dulu dengan orang rumah”.Perbualan itu tamat di situ, ketika suara Rokiah menyentuh gegendang telinga.
Bersambung....
Habaq sat...
"Habaq kat sapa?"Tanya hati pada minda.
"Habaq la kat sapa-sapa pun."Jawab minda yang baru terjaga...
* Habaq = beritahu
Subscribe to:
Posts (Atom)



